4 Remaja Ini Hafaz Al-Quran, 2 finalis Hero Remaja Dan 2 Anak Selebriti! Mesti Anda Tak Sangka Siapa..

 

Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa finalis Hero Remaja 2017 kali ini ada yang mempunyai latar belakang bersekolah agama suatu ketika dahulu.

Ilham Anuar atau lebih mesra dipanggil Dik Am dan Ikmal Amry merupakan dua finalis yang punya pengalaman menuntut di sekolah agama, malah mereka juga sempat menghafal beberapa juzuk Al-Quran.

Kehendak keluarga
Mempunyai bilangan ahli keluarga yang besar membuatkan anak ke 11 daripada 12 adik beradik ini menjadi harapan keluarga untuk melanjutkan pelajaran di sekolah agama. Ujar Dik Am, ibunya sanggup berhabis duit asalkan ilmu agama terjamin.

Kehendak ibunya yang ingin melihat Dik Am sebagai anak lelaki bongsu dan seorang lagi adik perempuannya belajar agama tertunai kerana anak muda ini berjaya melanjutkan pelajarannya daripada pra-sekolah sehingga tingkatan 3 di sekolah agama swasta Sri Pintar, Shah Alam.

Bercerita tentang pengalaman Dik Am di sekolah agama, pengisian jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti menghafaz Al-Quran. Namun begitu, pelajaran akademik juga tidak dipinggirkan malah mereka mempunyai waktu khusus untuk belajar mata pelajaran yang lain.

Sepanjang tempoh persekolahan tersebut, Dik Am pernah menghafal Al-Quran sehingga juzuk 6 dan empat kali khatam. Wah, macam ni la calon Hero Remaja yang kita cari. Bukan saja berbakat dalam dunia hiburan, malah didikan agama yang cukup juga memberi kelebihan buat menjamin kesejahteraan hidup.

Walau bagaimanapun, semasa di tingkatan 3 dia terpaksa bertukar sekolah di Safinatun Najah, Shah Alam kerana sekolah lamanya itu sudah tidak lagi beroperasi. Namun, pembelajaran yang diperoleh di sekolah barunya tidak sama seperti di sekolah agama yang terdahulu kerana mereka lebih fokus pada pelajaran akademik dan bukannya Diniyyah (agama).

“Selepas PMR, Dik Am ada berkunjung ke Indonesia bersama mak dan ayah untuk mencari sekolah agama di sana sebab mak cakap rugi kalau tak sambung belajar agama. Tapi, bila tengok sekolah agama di sana keadaannya memang sangat daif dan Dik Am agak murung untuk sambung persekolahan di sana,” jelasnya sambil tertawa kecil.

“Jadi mak pun tak sampai hati melihat keadaan Dik Am pada waktu tu dan membenarkan untuk sambung persekolahan biasa di Malaysia. Namun, mak ada cakap yang habis SPM nanti nak hantar Dik Am ke Yaman kalau ada peluang belajar agama di sana,” sambungnya lagi.

Ikmal pernah hafaz 15 juzuk Al Quran
Berlainan pula dengan kisah Ikmal Amry atau lebih mesra disapa sebagai Am, dia mula masuk ke sekolah agama pada tingkatan 1 hingga tingkatan 4 kerana dijaga oleh makciknya pada ketika itu. Hal ini adalah kerana keluarganya mempunyai masalah kewangan dan oleh sebab itu dia dibiayai oleh makciknya untuk menuntut di Sekolah Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah di Kangar, Perlis.

“Selama 4 tahun bersekolah asrama di sana, Am banyak belajar hadis, hafaz Al-Quran, belajar azan, solat dan bab-bab agama tentang perkara halal haram. Sebelum subuh kami akan menunaikan solat sunat dan selepas subuh kita akan baca doa Al-Mathurat iaitu doa-doa nabi. Selepas itu kami akan bersiap-siap untuk masuk kelas dan belajar seperti biasa dan pada waktu malam pula, selepas solat Maghrib kami akan membaca Al-Quran secara beramai-ramai,” jelas Ikmal Amry.

Sepanjang persekolahan di sana, Am sempat menghafal sebanyak 15 juzuk Al-Quran dek kerana rutin hariannya banyak diluangkan untuk membaca Al-Quran. Namun, selepas itu dia mempunyai masalah keluarga dan terpaksa berpindah di sekolah biasa.

Ditanya tentang perbezaan di antara sekolah agama dan sekolah biasa, Am mengakui bahawa sekolah agama mendidiknya untuk jadi lebih baik dan sekolah biasa menjadikan dirinya lebih matang dan cara pergaulan juga tidak sama seperti di sekolah agama.

“Secara peribadi, Am memang prefer sekolah agama dan InsyaAllah satu hari nanti kalau Am dan ada anak, Am akan cuba untuk menghantar mereka ke sekolah agama. Tapi tak bermaksud sekolah biasa tu tak bagus kerana bagi Am pokok pangkal datang daripada diri kita sendiri, bukannya kerana sekolah semata-mata,” ujarnya panjang lebar.

Wah, mendengarkan pengalaman dua finalis Hero Remaja ni membuatkan kita lebih terbuka dan sedar bahawa walaupun mereka menceburkan diri dalam dunia hiburan tetapi asas agama tetap tidak pernah diabaikan.

Anak Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al Quran, Norman Hakim Luah Rasa Syukur!

Semua mengetahui anak sulung Norman Hakim bersama Abby Abadi, Mohamed Danish Hakim, 14, bersekolah di sebuah sekolah tahfiz di Bangi. Dan kini anak sulung kesayangan mereka ini telah pun berjaya menghafaz 30 juzuk Al Quran. Satu kejayaan yang cukup hebat!

Norman menerusi laman instagramnya pada 12 Ogos lalu berkongsi rasa gembira dan bangganya pada anak sulungnya ini. Kitapun kalau jadi mak ayah akan rasa bangga yang tak terhingga kalau pencapaian anak macam ni

Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T, semalam (Jumaat 11/8/17) Abg @danishhakim_243 dapat selesaikan khatam hafazan 30 juzuk dia, sehari awal dari target sebenar. Ini baru peringkat ‘intro’ atau permulaan untuk misi seterusnya. Jauh lagi perjalanannya.

Saya bagi pihak keluarga mewakili ‘keramat hidup’ dia, mama dia @abby_abadi112 yang menjadi tunjang dan kekuatan dia dan jugak mummy @memeysuhaiza serta abah @jaiezzany dengan rasa rendah diri nak ucap terima kasih kepada semua yang banyak mendoakan. Semoga doa tu takkan putus kat sini sahaja untuk perjuangan anak muda ni ke peringkat seterusnya. Allah S.W.T yang dapat membalas budi baik semua.

Barakallah Mohamed Danish Hakim Al-Hafiz

Luah Norman penuh makna. Norman juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua peminat dan pengikut laman instagramnya yang sentiasa mendoakan anak sulungnya itu.

Terima kasih banyak-banyak atas doa-doa uolls semua dalam post sebelum ni. Dalam tak sedar uolls semua adalah sebahagian daripada penyumbang kepada pencapaian @danishhakim_243, melalui sedekah doa-doa uolls semua. Jangan kita menidakkan ‘kuasa doa’ sebab itulah SENJATA UTAMA kita yang sangat beruntung dipilih sebagai antara pengucap DUA KALIMAH SYAHADAH. Bom atom dengan senjata nuklear pun kalah kalau kita yakin dengan doa kita.

Takde sikit niat pun untuk kami berbangga atau menunjuk. Sekadar perkongsian untuk manfaat bersama. Ini baru intro kepada satu permulaan. Sama-sama kita istiqomah untuk terus mendoakan sesama kita…Aamiin YRA.

Norman sebelum ini berkongsi rasa di instagramnya mengenai Danish yang ketika itu baru sahaja menghafaz juzuk ke 28. Dia yang menguji anaknya mengakui rasa meremang bulu roma bila mendengar anaknya membaca Al Quran.

Saya pernah diminta Danish untuk mengujinya dalam hafazan al-Quran kerana mahu berlatih sebelum menduduki peperiksaan di sekolah. Saya hanya baca mana-mana ayat secara rawak di dalam al-Quran tanpa dilihatnya dan dia dengan cekap menyambungnya selepas saya berhenti membaca. Meremang bulu roma saat saya lihat dia menghafaz ayat al-Quran itu dengan tepat sekali.

Saya kagum melihatnya, kalau saya belum tentu lagi boleh lakukan begitu.

Mana ada ibu ayah yang tak rasa bangga bila anak-anak boleh menghafaz lebih baik daripada kita kan? Kata Norman lagi, dia sendiri belum tentu boleh menghafaz ayat al-Quran sebanyak itu seumur hidupnya.

Danish yang mengikuti pengajian di Madrasah Uthmaniyah Tahfiz, Bangi bakal menyambung pengajiannya ke Turki pada Oktober depan.

Jika hendak diikutkan Danish akan berangkat pada Mei lalu tetapi saya serta Abby Abadi dan Memey agak emosi untuk melepaskan dia. Yelah, jika dia ke sana Mei lalu dan mengikuti pengajian selama 9 bulan sudah pasti kami tidak dapat menyambut raya bersamanya, justeru kami mintak ditangguhkan ke Oktober.

Saya bangga kerana Danish antara 20 pelajar dari Malaysia yang terpilih untuk mengikuti pengajian bersama 400 orang pelajar lain dari seluruh dunia.

Bagi saya dia memang anak yang terpilih dan dipilih oleh Allah untuk mempunyai kelebihan menghafaz. Anak-anak begini biasanya yang menjadi bench mark kepada kita sebagai ibu bapa untuk menjadi lebih baik. Moga Allah lindunginya dan kami sekeluarga tidak berhenti mendoakan kesejahteraannya di sana nanti,” ujarnya.

Selain Danish, mereka juga dikurniakan dua lagi anak perempuan iaitu Marissa Dania, 12, dan Maria Danisha, 10 yang juga turut bersekolah tahfiz dan sekolah rendah agama. Syabas buat Norman dan Abby kerana menjadi ibu bapa yang cemerlang dalam mendidik anak-anak mereka, walaupun telah lama berpisah!

Foto: Instagram Norman Hakim

“Bila Allah Mengizinkan Sesuatu, Tiada Kuasa Mampu Melawan..” Personaliti TV Kongsi RAHSIA Anak Bergelar AL- HAFIZ.

Beberapa hari lalu, instagram kepunyaan personaliti TV, Azizah Ariffin dihujani ucapan tahniah daripada para peminatnya. Pelbagai ucapan yang positif diterima apabila Azizah memuat naik posting mengenai kejayaan anaknya, Ashriel Afiq telah bergelar Al Hafiz dan menyempurnakan hafazan 30 juzuk Al-Quran. Sebagai ibu, sudah semestinya perkara ini menjadi salah satu berita gembira untuk dikongsikan.

Lebih memberi inspirasi apabila Azizah menyatakan bahawa Ashriel Afiq semasa kecil paling lemah untuk mengaji. Malah, ketika dihantar mengaji bersama seorang ustazah, Ashriel Afiq sering menangis. Tambahan pula, dia tidak menerima pendidikan secara formal di sekolah agama ketika menuntut di peringkat sekolah rendah.

“Namun, alhamdulillah. Bila Allah mengizinkan sesuatu, tiada kuasa mampu melawan. Minat Ashriel datang sendiri apabila dia melangkah ke alam persekolahan menengah,” ujar Azizah memulakan bicara.
Tambah Azizah lagi, sebagai ibu bapa dia memberi galakan dan dorongan untuk anak-anaknya mengejar impian mereka dan sokongan menjadi antara elemen utama yang mendorong kejayaan anaknya itu.

“Dari segi pemakanan semua sekolah Maahad amat mementingkan soal penjagaan pemakanan pelajarnya. Sebab itu anak-anak tahfiz tidak dibenarkan pulang bercuti di rumah. Dua minggu sekali baru boleh balik. Jadi sebagi ibubapa, apabila di rumah harus meneruskan penjagaan pemakanan mereka. Beri mereka makan lebih banyak ikan, ayam organik dan elakkan makan jajan atau makanan yang tidak berkhasiat,” ujar Azizah yang menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga tersayang.

“Kami sekeluarga mengamalkan quranic food atau makanan sunnah seperti minyak zaitun, jus delima, buah tin, kurma, cuka tin dan sebagainya. Kami sentiasa menggalakkan anak-anak untuk menjadikan makanan ini sebagai hidangan snek mereka. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk menukar bentuk pemakanan, tetapi lama-kelamaan seluruh anggota keluarga menyukainya,” ujar Azizah lagi.

Ketika ditanya mengenai dugaan menjaga anak tahfiz, personaliti televisyen yang jelita ini tidak menafikan terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi.

“Seperti anak remaja yang lain, jiwa mereka adakalanya inginkan kebebasan, keseronokan dan ingin bersama kawan dan sebagainya. Jadi, ketika pulang bercuti mereka sama seperti anak-anak yang lain ingin menonton wayang dan sebagainya, Saya tidak terlalu strict bab ni dan bagi dia keluar bersama kawan. Cuma perlu pantau juga cerita apa yang ditonton kerana jika cerita itu mendedahkan aurat dan sebagainya, ia boleh menjejaskan hafazan. Pergaulan dengan kawan-kawan juga perlu dipantau. Maklumlah kawan-kawan lain lebih bebas dan tidak perlu hafaz Al-Quran apabila di rumah. Tetapi alhamdulillah, Ashriel mempunyai kawan-kawan yang baik dari segi tingkah laku dan tidak sukar menetapkan peraturan untuk dipatuhi,” ujar Azizah yang ternyata amat bersyukur dengan kejayaan anaknya itu.
Azizah turut menitipkan pesanan untuk ibu bapa yang ingin anak mereka berjaya sebagai Al-Hafiz.

Semoga Bermanfaat!

sumber :

https://www.remaja.my

via

http://keluarga.karangkraf.com

Via

http://sweetnutella.com

via

Sumber : OhGebang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here