‘Buat logo sambil hisap gam agaknya’ – Netizen dakwa logo Visit Malaysia 2020 buruk dan ini respon Menteri Pelancongan

Viral di media sosial logo Visit Malaysia 2020 yang didakwa kelihatan buruk dan nampak tidak profesional serta ‘pereka’ logo berkenaan seperti ketandusan idea.

“Buat logo sambil hisap gam agaknya designer ni. Dengan orang utan, monyet belanda, dengan penyu-penyu sekali dia bagi spek.

“Alang-alang nak buat funny tu, bagilah pokok kelapa dengan KLCC pakai spek sekali,” tulis Hasrul Rizwan di Twitternya.

“Ramai tak puas hati logo Visit Malaysia 2020 macam tahun 1901 zaman perang Jepun. Aku pun buatlah satu logo dalam masa 30 minit sebagai tanda protes.

“Aku rasa Kementerian Pelancongan boleh upah ramai lagi graphic designer yang power. Diorang ambil mudah benda ini. Geram aku tengok,” tulis Muhammad Hidayatullah.

Selepas dikecam teruk di media sosial, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tampil memberikan penjelasan mengenai logo tersebut.

“Kritikan itu adalah perkara biasa. Saya lancarkan di Chiang Mai dan semua orang memuji logo itu. Ianya untuk pelancong asing, bukan untuk kegunaan dalam negara, saya tidak kisah.

“Di Chiang Mai, kami menerima respon yang cukup baik kerana mereka tidak pernah melihat logo itu sebelum ini. Berbeza pula dengan rakyat Malaysia yang pernah melihatnya.

“Saya tidak akan tukar. Saya telah lancar dan rasmikannya. Logo ini akan digunakan untuk dunia, hanya satu-satunya,” katanya memetik dari laporan OhBulan!.

Dalam kenyataan yang sama, Nazri menafikan pihaknya menggunakan perkhidmatan pihak luar untuk mereka logo berkenaan. Beliau berkata, logo itu direka sendiri oleh kakitangannya.

“Kami tidak menggunakan khidmat pihak luar dan tidak habiskan sesen pun. Semuanya dibuat secara dalaman oleh staf kami. Saya percaya kepada staff saya sendiri dari menghabiskan ratusan ribu ringgit kepada orang luar.

“Ianya percuma kerana pereka grafik adalah salah seorang daripada staf kami,” katanya.

Logo Visit Malaysia Year 2020 (VMY2020) memaparkan mesej yang sangat terang dan mempunyai elemen penting dalam pelancongan.

Mempertahankan logo yang dikritik pengguna media sosial, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berkata, setiap kempen melawat Malaysia selama ini juga telah terbukti berjaya dalam meningkatkan jumlah pelancong antarabangsa ke negara ini.

“Ramai di media sosial merungut mengenai logo Tahun Melawat Malaysia 2020 tetapi bagi pendapat saya, mencipta satu logo yang sesuai adalah sangat subjektif.

“Seperti satu karya lukisan, tidak ada logo yang betul atau logo yang salah. Ada yang suka sesuatu logo tapi ada juga yang tidak suka sebab masing-masing mempunyai cita rasa sendiri.

“Paling penting adalah mesej yang sangat terang dari logo ini,” katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Uzaidi menambah, kritikan sama pernah berlaku semasa Korea Tourism membuat logo Sparkling Korea oleh rakyat mereka namun kempen itu akhirnya berjaya.

“Serupa juga dengan Italy Tourism yang menerima komen huruf ‘T’ seolah alat sulit lelaki yang tidak bermaya, tetapi sekarang sudah terbukti berjaya. “Logo adalah sangat subjektif. Logo Ikea misalnya terlalu ringkas sehingga dianggap tidak ada kreativiti tetapi berjaya diingat oleh ramai orang,” katanya.

Di kalangan netizen, ada yang mempersoalkan kualiti rekaan grafik VMY2020 yang dianggap kurang memuaskan.

Logo tersebut dilancarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz pada Jumaat lalu di Forum Pelancongan Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand.

Ia memaparkan ilustrasi orang utan berkaca mata hitam memeluk Monyet Belanda, bayangan Menara Berkembar Petronas dan penyu di pantai yang juga memakai cermin mata hitam.

Logo itu memaparkan slogan “Travel. Enjoy. Respect”.

Menurut Nazri, ia selaras dengan aspirasi Organisasi Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

Uzaidi yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) berkata, Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah kempen yang kelima dianjurkan kerajaan selama ini.

“Logo Tahun Melawat Malaysia 1990 dan Tahun Melawat Malaysia 1994 menggunakan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai elemen dalam logo.

“Logo Tahun Melawat Malaysia 2007 menggunakan Bunga Raya sebagai elemen menandakan negara menyambut 50 tahun kemerdekaan, sementara logo Tahun Melawat Malaysia 2014 melambangkan negara yang mempunyai festival yang menarik.

“Oleh itu, tibalah masa kita menekankan beberapa elemen yang boleh menarik pelancong antarabangsa seperti bangunan KLCC, orang utan dan penyu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, slogan kali ini juga memberi pelancong antarabangsa satu keseronokan melancong di Malaysia di samping menghormati kebudayaan dan ekosistem negara.

“Nazri rajin memasarkan negara di pasaran pelancongan antarabangsa,” katanya, memetik peranan menteri itu ketika mengetuai delegasi negara di pameran antarabangsa seperti di ITB Berlin, FITUR Madrid dan World Travel Mart London.

Nazri akan berjumpa seberapa ramai penggiat industri pelancongan antarabangsa dan juga media antarabangsa, tambahnya.

“Beliau sangat arif dalam pasaran pelancong antarabangsa, oleh itu saya sangat yakin dengan pemilihan beliau untuk menggunakan logo yang sesuai bagi Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here