Pok Ya Cong Codei terus jadi buah mulut

Biarpun mulanya enggan mempopularkan watak Pok Ya ciptaannya, pengarah dan pelakon, Sabri Yunus tidak menyangka telefilem Pok Ya Cong Codei mendapat sambutan hangat selepas kali pertama ditayangkan 20 Januari lalu.

Sabri berkata jadual hariannya padat dengan promosi telefilem itu yang disiarkan di sebuah stesen televisyen. Lebih membanggakan, telefilem itu mula menjadi buah mulut penonton di luar negara.

“Saya tidak terfikir sambutan yang diberi begitu menggalakkan. Malah, saya dimaklumkan ada pihak yang membuat tutorial dalam bahasa Arab mengenai dialog yang dilontarkan dalam telefilem arahan saya itu,” katanya kepada BH Online.

 

Sabri mengaku ada perbincangan untuk membuat prekuel atau versi seterusnya karya itu.

“Namun, belum ada kata putus mengenainya. Apabila telefilem ini menjadi viral, semestinya pelbagai idea timbul tapi perlu ada perancangan sebaik-baiknya.

“Jika diikutkan, menang saya ingin melihat Pok Ya Cong Codei difilemkan. Namun, kami masih meneliti bahagian mana yang harus diangkat dalam filem dan sebaliknya,” katanya.

Anak jati Kelantan itu berkata, beliau mahu mengekalkan identiti dan karakter Pok Ya yang dicipta daripada kombinasi cerita masyarakat setempat.

Sabri berkata, sebagai karyawan, beliau percaya nilai sastera dan elemen yang dekat dengan kehidupan masyarakat mampu menjadikan sesebuah karya itu lebih indah dan mudah diterima.

Telefilem Pok Ya Cong Codei berkisar kisah Pok Ya iaitu gedebe atau samseng dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan.

Selain Sabri, telefilem itu dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim.

sumber

 

 

Intan takut obsesi peminat

KUALA LUMPUR: Obsesi peminat terhadap drama Kekasih Paksa Rela yang sedang disiarkan di slot Akasia TV3 mendorong heroinnya, Intan Najuwa memuat naik gambar bersama kekasihnya di laman sosial.

Intan,20, memberitahu, dia mahu mengalihkan tumpuan netizen daripada drama 28 episod itu seketika dengan berkongsi gambar bersama buah hatinya itu.

“Sebenarnya saya takut melihat fokus keterlaluan peminat terhadap drama Kekasih Paksa Rela hingga ada yang bertelagah di laman sosial. Jadi, saya cuba mengalih tumpuan dengan memuat naik gambar bersama kekasih.

“Tidak sangka pula, perkongsian itu membangkitkan isu apabila ada yang meninggalkan komen lebih suka melihat saya bersama Remy Ishak iaitu gandingan saya dalam drama itu. Pening dibuatnya dengan permintaan peminat yang kadang kala lucu.

“Saya dan kekasih sebenarnya sudah tiga tahun berkawan, namun sekali-sekala ada saja saya memuat naik gambar bersama. Tidak sangka, dia pula turut menjadi bahan gosip pula menerusi perkongsian saya itu,” katanya kepada BH Online.

Semakin mencipta nama menerusi watak Hanan Khaira, Intan menafikan perkongsian yang dibuat adalah untuk menutup dakwaan timbulnya ‘cinta lokasi’ bersama Remy.

“Saya menghormati Remy seperti abang sendiri memandangkan jarak usia kami jauh sebenarnya. Kalau dilihat adegan romantis kami, sebenarnya bukan mudah untuk mewujudkan keserasian itu.

“Kami pernah bergandingan bersama sebelum ini, namun sebagai abang dan adik, tetapi apabila ditawarkan untuk bercinta, janggal sungguh rasanya. Malah, saya pernah ‘down’ kerana tidak dapat memberikan lakonan mengikut kehendak pengarah.

“Alhamdulillah.. walaupun ada yang memberikan komen negatif dan sebagainya mengenai lakonan saya, namun itu semua menjadi pembakar semangat buat saya,” kata bekas blogger berasal dari Johor Bharu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here