Rahsia Tokoh Politik Jerman Tegar Anti-Islam Jadi Muslim


BERLIN – Arthur Wagner, anggota kanan parti politik Jerman, Alternative for Germany (AfD), yang memeluk agama Islam, baru-baru ini mendedahkan rahsia bagaimana beliau berbuat demikian.

Ia sebenarnya bertitik tolak daripada prinsip hidup dirinya yang memang tidak bersetuju dengan tindakan gereja negara itu mengiktiraf perkahwinan sesama jenis dalam kalangan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Tahun lalu, AfD menjadi parti nasionalis pertama memenangi kerusi Parlimen Jerman sejak 1960-an dengan kempennya anti-Islam malah menggunakan slogan ‘Islam tiada tempat di Jerman’ ketika pilihan raya tempatan.

Menurut laporan akhbar The Telegraph, Wagner, yang kini menggunakan nama mualaf sebagai Ahmad, kemudian meletakkan jawatan ahli jawatankuasa kanan dalam parti politik ketiga terbesar di Jerman itu awal tahun ini.

Namun beliau mahu kekal dalam AfD untuk membina semula hubungan baik antara umat Islam Jerman dengan komuniti setempat. Keputusannya untuk menganut agama Islam malah merupakan satu kejutan besar di negara itu.

Bayangkan Wagner pernah cuba mengekang projek pembinaan masjid di Jerman, menggesa polis sempadan untuk menembak mati pelarian Muslim dan pendatang Afrika daripada cuba berhijrah memasuki negara Eropah tersebut.

Beliau bahkan dahulu hebat beri amaran terhadap ancaman Muslim dibenarkan kerajaan Jerman memasuki negara itu dan menuduh Canselor Jerman, Angela Merkel melakukan “kesilapan besar ” dengan dasar pelarian Muslim.

Jika sebelum ini Wagner lantang beri amaran bahawa “Jerman sedang bertukar menjadi negara berbeza”, setelah menjadi Muslim, beliau pula merahsiakannya kerana tidak pasti bagaimana memberitahu rakan-rakan dalam parti.

Menerusi temuramah dengan akhbar popular Bild, Wagner, 48, berkata antara sebab beliau terbuka hati untuk tiba-tiba berubah apabila memeluk agama Islam ialah kerana tidak dapat menerima perubahan drastik dalam gereja.

Menurut laporan portal terkenal Britain, Daily Mail, bekas penganut Kristian Protestant itu berkata: “Satu sebab ada kaitan dengan perubahan yang berlaku dalam pihak gereja yang tidak lagi sesuai dengan jiwa saya sendiri.

“Sokongan gereja tempatan terhadap usaha perkahwinan LGBT yang sebelum ini dikutuk dan penyertaan pastor ketika perarakan tradisional Christopher Street Day yang turut disertai kanak-kanak, itu tidak boleh saya terima.”

Menurut Wagner, beliau pernah menimbangkan untuk memeluk Islam sejak 2015, ketika mengunjungi bandar Ufa di Rusia yang majoriti penduduknya secara kebetulan merupakan masyarakat Islam domestik daripada etnik Tatar.

Sementara itu, Ketua Bahagian AfD di Brandenburg, Kai Berger, berkata mereka hanya mengetahui berita mengenai Wagner sudah memeluk Islam melalui media massa dan meluahkan perasaan amat kecewa dengan tindakannya.

“Ramai ahli parti mahu dia meninggalkan AfD tetapi malangnya kami tidak boleh memecatnya sebagai ahli parti kerana Wagner tidak pula melakukan sebarang kesalahan mengikut peruntukan undang-undang,” kata beliau.

Namun begitu, media Jerman melaporkan Wagner, bapa kepada dua anak, meluangkan masanya melakukan kerja sukarela dengan pendatang Muslim, termasuk memberikan bantuan penterjemahan kepada pendatang Chechen.

Interaksi beliau secara peribadi, menurut laporan portal Vox, kemungkinan besar berjaya menyebabkan hatinya langsung terbuka memeluk ajaran Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sumber – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Sumber : mediahipster.net

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here