Usaha Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan mewajibkan pelajar sekolah seluruh kawasan berkenaan solat berjemaah sebelum pulang ke sekolah disifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai menyusahkan pelajar.

Katanya, alasan arahan itu dikeluarkan untuk membina karakter warga sekolah dengan mendirikan solat adalah mengarut.

“Ini adalah satu dari banyak lagi perkara bodoh yang pendidik kita sebarkan kepada pelajar kita, satu lagi sekolah sia-sia. Nak bina karakter? Ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras.

“Ajar mereka bersikap tegas dan pengorbanan, dan tunjukkan mereka contoh tokoh masyarkat (jika ada) yang menunjukkan karakter yang kuat. Mudah sahaja.

“Amalan keagamaan ini semua menyusahkan pelajar, yang sudahpun terbeban dengan banyak lagi amalan-amalan lain sedia ada,” ujar ahli DAP itu menerusi blognya, semalam.

Kenyataan Zaid adalah respon kepada arahan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Razali Mustafar yang mewajibkan pelajar mendirikan solat fardhu secara berjemaah selepas tamat persekolahan.

“Demi kecemerlangan murid-murid, kita meletakkan 5 fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu (solat) jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkan.

“Asalkan tepat kiblat, solat berkenaan boleh diadakan di dewan atau tempat bersesuaian,” kata Mohd Razali.

Zaid turut mendakwa arahan mewajibkan sebagai amalan sempit yang tidak membantu masyarakat Melayu untuk lebih pintar belajar, memahami tanggungjawab peribadi atau mendidik masyarakat berdisiplin.

“Peningkatan ritual keagamaan di sekolah adalah satu lagi tanda bahawa pemimpin UMNO, pendidik dan pegawai telah kehilangan hilang akal. Ia menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak lagi minat atau keupayaan lain untuk disampaikan kepada pelajar. Mereka sendiri mungkin mempunyai karakter yang lemah,” ujarnya.

Mengulas isu sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa dipetik Sinar Harian berkata, solat berjemaah langsung tidak mengganggu aktiviti harian pelajar ekoran waktu diluangkan hanyalah antara tujuh hingga 10 minit sahaja.

Ianya juga kata Mohd Khairil, membantuk dalam membentuk semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar berbilang bangsa memahami dan menghormati agama lain.

“Melalui cara ini, dapat beri pendedahan kepada pelajar yang bukan Islam mengenai kewajiban bagi umat Islam menjaga solat lima waktu.

“Kebanyakannya mungkin sudah tahu. Tapi langkah sedemikian dapat membiasakan lagi mereka (bukan Islam) dengan perkara itu. Lagipun di mana lagi tempatnya untuk bentuk pelajar, kalau bukan di sekolah,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan mengarahkan pelajar solat berjemaah, pihak sekolah dapat memastikan pelajar-pelajar melaksanakan perkara wajib yang merupakan tiang agama.

“Lebih selamat bila suruh pelajar tunaikan solat terlebih dulu sebelum balik. Dengan berbuat demikian, tanggungjawab sekolah dalam bab itu sudah selesai. Sekali gus menunjukkan sekolah cukup ambil berat soal ibadat pelajar memandangkan solat adalah tiang agama,” katanya.

– mD sumber malaysiadigest

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here